Sabtu, 5 Januari 2013

Sejarah Kampungku

Felda Kemendor telah dibuka pada tahun 1956. Bermula daripada sebuah kawasan kem komando yang didiami oleh askar British dan Ghurka yang dikeliling hutan belantara, ia dibersihkan dan dijadikan petempatan. Pada awalnya ia dikenali sebagai Tanah Rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan Felda Kemendor. Nama Felda Kemendor diambil daripada kem komando. Namun ada juga yang mengatakan bahawa ia diambil sempena nama seorang buruh Indonesia yang bernama Kang Kandol. Dalam novel karya Usman Awang ada menyatakan bahawa Kemendor pada era 1950an adalah kawasan hitam yang didiami oleh para komunis.Nama Kemendor diambil bersempena dengan nama komando dan kekal sehingga ke hari ini. 

Apabila tanah mula dibersihkan dengan bantuan FELDA, petempatan pertama mula didirikan. Para peneroka awal ditempatkan di berek kem tinggalan tentera. Hutan belantara dibersihkan dijadikan kawasan ladang dan petempatan. Felda Kemendor telah dibangunkan kepada tiga peringkat. Satu persatu kemudahan awam disediakan bagi para peneroka. Pada tahun 1960, sebuah sekolah telah dibina untuk anak-anak peneroka dan ditempatkan di bangunan berhampiran kawasan kem. Tuan Haji Tawi bin Yaakob dilantik sebagai guru besar dan dibantu oleh Tuan Hj. Kidam bin Saamin dan Puan Haja Saeiyah binti Yaakob dengan 73 orang murid.

Pada 6 April 2007 semua FELDA di Melaka telah diisytiharkan oleh Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebagai gugusan Tun Ghafar. Nama ini diambil bersempena nama bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tun Ghafar Baba yang begitu banyak berjasa kepada perkembangan dan pembangunan FELDA khususnya di negeri Hang Tuah ini. Maka sejak itu FELDA Kemendor telah diwartakan dengan nama FELDA Tun Ghafar Kemendor.